Bagi papa, berhadapan dengan kelahiran anak kedua tentu lebih mudah berbanding dengan yang pertama sebab sudah ada pengalaman. Isteri pun tentu lebih bersedia kerana sudah tahu apa yang akan berlaku. Tapi, macam mana pula dengan anak sulung? Mereka langsung tidak tahu apa-apa dan pastinya akan memberontak jika ditinggalkan di rumah. Sekiranya ingin menjaga sendiri anak di rumah, bagaimana pula dengan isteri? Walaupun ini pengalaman kedua isteri, anda masih perlu berada di sisinya untuk memberikan sokongan kerana pengalaman melahirkan setiap anak berbeza. Bersama-sama ini ada panduan supaya anda mampu berhadapan dengan situasi seperti ini.

Terhadap anak:
  1. Semasa isteri hamil, beritahu anak yang dia akan menerima kehadiran adik tidak lama lagi agar dia lebih bersedia.
  2. Beritahu juga padanya di mana adik mereka dan biarkan dia rasa pergerakan adiknya.
  3. Apabila masa untuk bersalin sudah semakin hampir, beritahu anak tentang apa yang akan berlaku dan apa yang perlu dia lakukan. Misalnya, beritahu yang anda dan mamanya perlu ke hospital untuk melahirkan adiknya dan dia kena tinggal di rumah bersama seseorang.
  4. Eloklah jika anda minta bantuan ibu bapa untuk menemani anak sulung anda di rumah sepeninggalan anda ke hospital. Jika ibu bapa tidak boleh, ajaklah adik-beradik atau sesiapa sahaja yang anak anda suka dan selesa bersamanya. Yang paling penting, pastikan orang itu anda boleh percayai.
  5. Sebelum ke wad bersalin, beritahu anak ke mana anda dan isteri ingin pergi agar dia faham. Jangan sesekali tinggalkan anak tanpa memberitahunya kecualilah ketika dia sedang tidur.
  6. Sekiranya tidak ada yang menjaga anak di rumah, eloklah dibawa sekali ke hospital dan minta bantuan jururawat untuk menjaganya sebentar, sementara anda bersama isteri di bilik bersalin. Selang beberapa minit, jenguk anak anda sekejap untuk pastikan dia rasa selesa dan selamat. Selepas bayi selamat dilahirkan bawa anak sulung untuk melihat adiknya yang baru lahir itu.
 Terhadap isteri:
  1. Semasa proses kelahiran, sokongan moral suami paling diperlukan. Jadi, anda mesti berada di sisi isteri ketika itu.
  2. Bersedia untuk memberikan apa sahaja yang dimintanya agar dapat meringankan kesakitan yang dialaminya seperti mengurut belakang tubuhnya.
  3. Bersabar jika isteri marah-marah kerana kontraksi memang menyakitkan.
  4. Cuba untuk sentiasa bersama isteri walau apa jua keadaannya. Sekira anda tidak boleh melihat darah yang banyak, alihkan perhatian anda pada wajah isteri dan jangan sesekali menoleh pada tempat yang banyak darah kerana isteri memang perlukan anda ketika itu. 

info : papa&mama